Setahun yang lepas, apabila isu Kampung Buah Pala pernah menjadi isu yang panas, Pemuda MIC mencampur tangan dalam isu itu dengan tujuan mengelirukan lagi keadaan. Pada waktu itu, saya pernah diserang oleh individu yang bernama G.Kumar Ammaan ini, yang kini menjadi musuh kepada Pemuda MIC. Pada masa itu, Presiden MIC Dato Seri Samy Vellu, anaknya Vell Paari, Ketua Pemuda MIC T.Mohan semuanya telah menyalahkan saya atas kejadian itu dan mempertahankan Kumar Ammaan ini. Pemuda MIC telah memilihnya untuk mewakili sayap itu dalam Majlis Tertinggi parti itu. Pemuda MIC Pulau Pinang pula menyambutnya dengan meriah apabila Kumar Ammaan datang ke Pulau Pinang untuk memberikan penjelasan mengenai laporan polis saya terhadapnya. Adakah kesemua itu sudah pudar dari ingatan para Pemuda MIC?
Menjulang-julang seorang Individu apabila, dia bersekongkol dengan mereka, dan mencaci seorang individu apabila dia mempunyai pandangan berbeza adalah sifat sebenar Pemuda MIC. Yang nyata sifat tersebut boleh diklasifasikan sebagai hipokrit. Adakah Pemuda MIC kini akan menyalahkan Kumar Ammaan atas serangan ke atas saya di Komtar, Pulau Pinang pada tahun lepas? Adakah Pemuda MIC akan sudi hadir ke Mahkamah memberikan penerangan menentang Kumar Ammaan tentang kejadian di Komtar itu? Tidak hairan jika sesuatu seperti itu berlaku, kerana seluruh Rakyat Malaysia sedar bahawa Pemuda MIC adalah pergerakan yang bertalam muka dua.
Gara-gara Presiden Parti telah dicabar, Pemuda MIC mengecam Kumar Ammaan dan Mugilan dengan kata-kata seperti penipu dan pengkianat. Tidak sedarkah Pemuda MIC semua itu sebelum kedua mereka mencabar Dato Seri Samy Vellu? Ataupun Pemuda MIC melontarkan segala tuduhan ini hanya kerana mereka mencabar Presiden MIC? Pemuda MIC harus mengutamakan kepada kerja-kerja yang lebih berfaedah daripada menjadi talam bermuka dua dan mengadakan pelbagai drama untuk meraih publisiti murahan. Sekian. Terima Kasih.
Yang Benar,
SATEES MUNIANDY
Ahli Majlis Eksekutif
DAPSY Negeri Pulau Pinang