Saya bagi pihak Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan hasrat penuh kita bersama-sama dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Pulau Pinang dan Dewan Pemuda Pas (DPP) Negeri Pulau Pinang untuk menyertai debat dengan Encik Rizal Faris Mohideen, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Encik Jais Abdul Karim, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Encik Norman Zahalan, Ketua Pemuda Umno Negeri Pulau Pinang.
Walaupun debat perdana kali ini adalah berkaitan dengan isu Melayu-Islam di Negeri Pulau Pinang, namun kita tidak lihat ini sebagai isu Melayu atau Islam sahaja malah merupakan isu-isu yang berkepentingan ramai. Kita perlu mempertahankan kebenaran dan keadilan serta menolak fitnah kerana fitnah merupakan di kalangan 70 dosa yang besar dalam Islam.
Serangan yang bertubi-tubi terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa Pakatan Rakyat menindas Melayu atau menjahanamkan Islam adalah tidak berasas sekali. Kami adalah rabun warna dan tidak pernah mengamalkan dasar diskriminasi kaum seperti Umno dalam urustadbir Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan. Kami hanya berpegang teguh terhadap kedaulatan undang-undang supaya kepentingan rakyat dapat diutamakan.
Rakyat bolehlah lihat dengan mata sendiri untuk tujuan apa Rizal Faris dan GPMS bersekongkol dengan Umno bagi menjatuhkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kita amat kesal sekali jikalau segala serangan Rizal Faris terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat hanya bertujuan untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden DPMPP supaya tanpa disedari orang ramai betapa gagalnya beliau sebagai Ahli Majlis MPPP seketika dahulu untuk membincangkan isu penjaja atau peniaga Melayu dalam Mesyuarat Bulanan atau Mesyuarat Jawatankuasa MPPP dengan rekod kehadiran yang hampa sekali.
Kita bersama-sama dengan Pemuda Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk berdepan dengan Rizal Faris, Jais dan Norman Zahalan dalam Debat Perdana Rakyat yang bakal berlangsung pada 7 Mac 2010. Adakah Rizal Faris dan konco-konconya berani untuk berdepan dengan kita? Adakah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak menjaga kepentingan rakyat jelata tanpa mengambil kira kaum, agama, jantina dan latar belakang politik? Adakah Melayu dan Islam terpinggir dalam pentadbiran Amal Ma’aruf Nahi Mungkar? Biarlah Debat Perdana menjawab segala-galanya!
YEOH SOON HIN