Sebarang serangan atau vandalisme terhadap mana-mana rumah ibadat tidak boleh sama sekali dipertahankan. Tindakan-tindakan sebegini merupakan suatu yang melampau, biadap, bacul dan amat bertentangan dengan nilai-nilai agama serta tatasusila yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.
Kami menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik untuk bangkit bersatu menentang tindakan segelintir puak ekstrim ini yang mahu menggugat kestabilan dan keamanan negara, lantas merobek semangat hormat-menghormati sesama rakyat yang sememangnya tersemai di kalangan kita.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bertenang serta dan tidak bertindak berbaurkan emosi atau khabar angin mahupun memberi lemparan tuduhan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan ketegangan semasa.
Disamping itu, kami juga menggesa agar pihak berkuasa dapat segera menyiasat bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke atas kes serangan ini ke muka pengadilan.
Kami sependapat bahawa isu ini adalah perkara sejagat yang merentasi batasan agama, politik serta bangsa. Apabila datang ancaman kepada perpaduan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia, kepimpinan muda negara sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik demi mempertahankan kemakmuran dan keharmonian negara.